Blogger Templates

Pages

Monday 28 November 2011

HARGAI IBU BAPA KITA

Panggilan dari bonda tercinta sebentar tadi membuahkan bibit-bibit penyesalan dalam diri yang penuh kedaifan ini. Betapa hiba dan sayunya mendengar luahan hati seorang ibu yang merindui anaknya yang berjauhan. Kalimah maaf laju diucapkan dari mulut seorang anak yang diharapkan sebagai tunggak keluarga kelak. Mujurlah bonda maafkan dan berharap selepas ini, keraplah menghubungi keluarga di kampung untuk bertanyakan khabar.

Sejenak hati mula terdetik sesuatu. Kadang-kadang diri ini lebih menghargai rakan taulan dari ibu bapa sendiri. Padahal pengorbanan ibu dan ayah lebih bernilai dari sejuta mutiara emas di lautan dan sebagainya. Mengandung, membesarkan, mencari nafkah demi anak tercinta. Anak-anaknya disayangi serta dikasihi umpama menatang minyak yang penuh. Oleh itu, hargailah dan balaslah jasa kedua-dua ibu bapa kita sementara masih sempat. Jangan tiba waktu ketiadaan mereka di dunia ini, barulah kita mula terhegeh-hegeh menangis meratapi pemergian mereka. Menyesal pada waktu itu tidak lagi berguna. Mungkin para sahabat-sahabat sekalian yang masih mempunya ibu dan ayah mungkin tidak merasa lagi kepahitan kehilangannya sesuatu yang sangat-sangat bernilai dalam kehidupan kita. Suatu kehilangan yang tidak boleh diganti dengan emas, permata dan juga wang ringgit.

Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

Riwayat al-Hakim

Apa yang boleh dihuraikan berdasarkan hadis tersebut, tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia. Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak.  Antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.  Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar. Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah. Dapat disimpulkan di sini, segala apa yang kita hendak lakukan dalam dunia ini ini, haruslah mendapatkan keredhaan dari ibu dan ayah kita. Jangan bila tiba satu saat pemergian mereka, kita akan merasa sangat menyesal.

Mungkin ramai yang tidak lagi merasai keperitan apabila kehilangan ibu bapa kita. Sekadar berkongsi pengalaman. Arwah abah telah meninggal dunia tanggal 26 Oktober 2001 disebabkan diabetis dan pelbagai lagi jenis penyakit di dalam tubuhnya. Ibu merupakan satu-satunya insan yang tidak menangis ketika waktu arwah melafazkan kalimah Syahadah di kamar hospital pada ketika itu. Sedangka semua ahli keluarga yang lain menangis hiba termasuklah diri ini yang tersangat-sangat sedih ketika itu. Ketika jenazah arwah samapi di rumah pada keesokkan harinya, ramai saudara-mara dan rakan taulan arwah yang datang menziarah. Ibu masih lagi tidak menunjukkan sebarang riak sedih. Masih lagi mampu tersenyum menyambut tetamu yang datang ke rumah. Selesai mandi jenazah dan kafan, jenazah arwah abah diangkat ke tanah perkuburan oleh orang-orang kampung diiringi dengan bacaan Al-Fatihah. Sempat seketika untuk melihat wajah ibu, masih lagi tenang seperti tidak berlaku apa-apa.

Setelah jenazah arwah abah selamat dikebumikan, diri ini terus pulang ke rumah dan masuk ke dalam bilik. Mata tidak henti-henti mengalir kerana mengenangkan saat-saat bersama arwah walaupun ketika itu masih berusia  11 tahun. Ketika terasa seperti tapak tangan mengusap-usap belakang tubuh, rupa-rupanya ibu yang sedang senyum memandangku. Ibu berkata, walaupun punca rezeki kita selama ini dah tiada, tetapi mak yakin, Allah akan membantu kita sekeluarga sambil matanya berair. Ketika itulah dua orang adikku masuk ke dalam bilik dan kami menangis sambil berpelukkan. Itulah saat yang paling tidak dapat dilupakan dalam hidup. Mulai hari itu, ibulah juga menjadi bapa kepada kami adik beradik. Dialah wanita yang terhebat dalam dunia bagi kami bertiga.

Bohonglah jika dikatakan tidak merasa sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang lain bermesra dengan ayah masing-masing. Sayu sahaja apabila mengenangkan detik bersama arwah abah suatu ketika dulu. Tapi diri ini harus kuat dan tabah. Setiap ujian dari Allah, pasti ada hikmahnya. Menjadi seorang anak yatim di usia yang muda banyak mengajar erti hidup sebenar apabila umur mula meningkat ke alam dewasa. Terkilan juga rasa dalam diri ini apabila mengenangkan arwah abah yang tidak dapat melihat pencapaian anak-anaknya pada hari ini dan yang akan mendatang kelak. Hati terus berdoa agar sempat untuk berbakti kepada bonda tercinta. Pengalaman ini sempat dikongsikan bersama beberapa orang anak yatim yang juga mengalami nasib yang sama malahan ada yang lebih menguji kesabaran berbanding diri ini melalui kem bersama anak yatim suatu masa dahulu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa segelintir jiwa anak yatim lebh tabah berbanding orang dewasa.

Satu pesanan untuk sahabat-sahabat yang membaca nukilan tak seberapa ini, hargailah peluang bersama ibu dan ayah kita. Sesungguhnya, tidak terbalas pengorbanan yang telah mereka lakukan kepada kita. Bukan wang ringgit yang mereka dambakan, cukuplah sekadar kita dapat membahagiakan mereka dengan kejayaan kita dan doa-doa yang mengiringi mereka seta tidak melupakan mereka apabila kita sudah berjaya kelak. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk membahagiakan ibu saya walaupun abah telah meninggalkan dunia ini.

Ya Allah! Rahmatilah kedua ibubapa kami , dan ampunilah dosa mereka. Redhailah mereka dengan keredhaan yg melayakkan mereka mendapat segala keredhaanMu. Dengan Engkau meletakkan mereka di dalam Negara kemuliaanMu, keamananMu, kemaafanMu dan keampunanMu.

No comments:

Post a Comment