Blogger Templates

Pages

Sunday 8 July 2012

PERMATA SESI 2012/2013

Bismillahirrahmanirrahim

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera 

Salam perkenalan saya hulurkan kepada seluruh mahasiswa khususnya anak-anak Terengganu Darul Iman di Universiti Malaya. Belum terlambat sekiranya saya ingin mengucapkan terima kasih kerana telah memilih saya sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) Universiti Malaya bagi Sesi 2012/2013. Sesungguhnya amanah ini suatu tanggungjawab yang sangat berat dan insyaAllah, saya akan cuba memikulnya sebaik mungkin dan sentiasa mengharapkan sokongan daripada kalian semua.

PERMATA merupakan sebuah persatuan berdaftar yang telah lama aktif di bumi varsiti malaya yang tercinta. Sebagai antara persatuan yang aktif, PERMATA sering mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik dan mampu membentuk perpaduan dan mengukuhkan ikatan silaturrahim antara anak-anak Terengganu di Universiti Malaya. Berkat sokongan daripada semua pihak, PERMATA terus gah di Universiti Malaya sehingga hari ini.

Mengambil alih tampuk kepimpinan PERMATA yang baru, hanya satu hasrat saya iaitu melihat semua anak Terengganu di Universiti Malaya dapat bersatu-padu dan saling tolong- menolong dan juga hormat- menghormati antara satu sama lain. Justeru, saya merasakan bahawa PERMATA merupakan sebagai medium terbaik bagi melaksanakan hasrat ini. Bersesuaian dengan tema baru PERMATA pada kali ini iaitu "PERPADUAN TERAS INTEGRITI PERMATA", insyaAllah, kami akan cuba merangka program-program yang mampu memantapkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan kita semua kerana bagi saya, kuasa perpaduan sangat hebat sebagaimana kata pepatah, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

Akhir kata, sekali lagi saya mewakili seluruh Barisan Pimpinan PERMATA Sesi 2012/2013 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli PERMATA yang terus-menerus memberi pandangan serta kritikan membina kepada kami semua. InsyaAllah, amanah ini akan dijalankan sebaiknya kerana Allah S.W.T. 

Jika semua ahli2 PERMATA UM ada sebarang kemusykilan dan cadangan, boleh terus untuk hubungi kami di FB kami masing-masing atau juga di talian HOT LINE PERMATA 013-2369439.

PERPADUAN TERAS INTEGRITI PERMATA
"KEMAH KEMING AWOK KITE"

Wabillahitaufik walhidaya
Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KENALI PIMPINAN PERMATA SESI 2012/2013

MAJLIS TERTINGGI

YANG DIPERTUA
Wan Mohamad Aizat Bin Wan Solpuddin

TIMBALAN YANG DIPERTUA 
Muhammad Arif Mustaqim Bin Zakaria

NAIB YANG DIPERTUA
Nurul Iffah Binti Mat Hassan

TIMBALAN NAIB YANG DIPERTUA
Nurul Hidayah Binti Mohd Nor

SETIAUSAHA
Wan Noor Athifah Binti Wan Shaari

TIMBALAN SETIAUSAHA 
Sharifah Nazihah Binti Syed Mohamad Zahoor

BENDAHARI
Mohd Izuan Hafizuddin Bin Md Zaki

TIMBALAN BENDAHARI
Fakhrul Rozie Bin Musa

Senarai Barisan EXCO

AKADEMIK DAN INTELEKTUAL
MUHAMMAD IRSYAD KHIR BIN JAMALUDIN  
IZZAH MAZIYYAH BT MOHD YUSOFF

KESENIAN DAN KEBUDAYAAN
ASSRIN BIN A.KADIR
NUR AINI BINTI ABDUL RAZAK

KEBAJIKAN DAN PERPADUAN
MUHAMMAD HARIF NAZRIN BIN MOHD HASHIMI
NURUL AKMALILHUDA BINTI MOHD ALAMI

SUKAN DAN REKREASI
NIK MUHD MUSTAQIM BIN NIK ABDUL AZIZ
ROSLENMARLINA BINTI MAT RAHIM

KENEGARAAN,ETIKA DAN PATRIOTISME
AMIRUL IZWAN BIN AHAMAD SAPIE
NOOR SYAHIRAH BT KHALID

PENERBITAN DAN MULTIMEDIA
MUHAMMAD ZUHAIMI B KASSIM
MOHD AMIR BIN MOHAMED@RAZAK

EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN
MOHD FAKHRUL ISLAM B JUHALI
NUR ADIBAH BT ABDUL RAHMAN

PERHUBUNGAN LUAR & ALUMNI
MOHD ISMANIZAM BIN SALIM
NORFATIN FARHA BINTI SAFIE

KEROHANIAN DAN PEMBANGUNAN IHSAN
AHMAD SHAHRIR BASRI BIN SUHAIMI
NURUL JANNAH BT ABU BAKAR

HAL EHWAL WANITA (HELWA)
SYARIFFAH ZAHIDAH TUAN LUDIN
WAN IYLIA SYAHEERA BT WAN ABD AZIZ


Wednesday 7 December 2011

DARI HATI "SI KAIN PUTIH"

Dia tidak minta untuk dilahirkan hasil dari hubungan yang haram
Dia lahir untuk melihat dunia yang penuh dengan warna-warna ciptaan Allah
Dia mahu disambut dengan laungan Azan dan Iqamah
Dia mahukan tangisan kesyukuran dengan kelahirannya
Bukan dengan tangisan penyesalan
Bukan dengan tangisan kebencian
Dia berasa pelik dan tertanya-tanya
Adakah kelahirannya ini menimbulkan perasaan benci kepada semua orang?
Adakah dia tidak layak untuk melihat keindahan alam ciptaan Allah di dunia?
Adakah kelahirannya akan menghancurkan hidup orang lain di dunia?
Adakah kelahirannya akan membawa sial dan bala dalan hidup orang lain?
Dia sebenarnya tidak sabar-sabar untuk menyebut dua perkataan keramat, Ibu dan Ayah
Dia betul-betul teringin dan tidak sabar untuk menyebutnya
Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana diberi peluang untuk menatapi dua wajah kesayangannya
Tetapi
Bau sampah mula masuk ke dalam rongga-rongga hidungnya
Pelbagai persoalan bermain di fikirannya
Dia mula berfikir
Bukankah sepatutnya dia berada di dalam satu kamar putih?
Eh, dia terkejut dan pelik
Kenapa banyak lalat mengerumunnya?
Kenapa bukan ahli-ahli keluarganya yang mengelilinginya?
Di mana ibu dan ayahnya?
Dia dapat merasakan badannya basah
Bau-bau hanyir mula menusuk kalbu
Dia mula memanggil
Ibu...Ibu...Ibu..Ibu
Ayah...Ayah..Ayah
Tiada kedengaran orang yang menyahutnya
Dia tidak berputus asa
Dia terus cuba tetapi hampa
Dia pasrah
Tiba-tiba kedengaran bunyi anjing
Dia takut mendengar bunyi yang nyaring dan menakutkan itu
Sangat-sangat takut
Dia terus berdoa kepada Allah
Semoga dia selamat dari sebarang ancaman
Sebab dia tak dapat lagi lihat wajah Ibu dan Ayahnya.
Dia tersentak apabila ada sesuatu menciumnya
Makhluk itu terus mencium wajahnya
Selepas itu, makhluk itu terus pergi meninggalkanya sendirian
Dia bersyukur kerana makhluk itu tidak mengapa-apakannya
Dia terus menunggu dan terus menunggu
Kedatangan Ibu dan Ayahnya
Tiba-tiba dia merasakan nafasnya sesak
Semakin lama semakin hilang keupayaanya untuk bernafas
Kenapa dengan dirinya?
Tolong..tolong..tolong
Tiada sesiapa pun yang menyahutnya
Nafasnya semakin hilang
Dia berdoa
Agar Allah merahmati kedua Ibu dan Ayahnya
Dia dapat merasakan kelahirannya ini tidak mengembirakn semua orang
Namun dia tetap gembira dan bersyukur
Kerana Allah memberikannya peluang untuk melihat dunia
Walaupun hanya dikelilingi oleh sampah
Dia tetap bersyukur dan gembira
Buat kali terakhir dia terus mamanggil
Ibu...Ayah
Selamat tinggal
Anakmu ini akan memulakan perjalanan pulang kepada Penciptanya
Semoga kita dapat bertemu di dalam syurga Allah
Dia menutupkan matanya
Tangisannya mula hilang
Dia berharap agar ada insan yang menjumpainya nanti
Untuk mengebuminya dengan cara yang sempurna

Semoga nukilan ini dapat member manfaat kepada sahabat-sahabat sekalian. Jika terdapat sebarang perkara yang saya silap, mohon ketelusan dari kalian semua untuk menegur saya.




Monday 28 November 2011

HARGAI IBU BAPA KITA

Panggilan dari bonda tercinta sebentar tadi membuahkan bibit-bibit penyesalan dalam diri yang penuh kedaifan ini. Betapa hiba dan sayunya mendengar luahan hati seorang ibu yang merindui anaknya yang berjauhan. Kalimah maaf laju diucapkan dari mulut seorang anak yang diharapkan sebagai tunggak keluarga kelak. Mujurlah bonda maafkan dan berharap selepas ini, keraplah menghubungi keluarga di kampung untuk bertanyakan khabar.

Sejenak hati mula terdetik sesuatu. Kadang-kadang diri ini lebih menghargai rakan taulan dari ibu bapa sendiri. Padahal pengorbanan ibu dan ayah lebih bernilai dari sejuta mutiara emas di lautan dan sebagainya. Mengandung, membesarkan, mencari nafkah demi anak tercinta. Anak-anaknya disayangi serta dikasihi umpama menatang minyak yang penuh. Oleh itu, hargailah dan balaslah jasa kedua-dua ibu bapa kita sementara masih sempat. Jangan tiba waktu ketiadaan mereka di dunia ini, barulah kita mula terhegeh-hegeh menangis meratapi pemergian mereka. Menyesal pada waktu itu tidak lagi berguna. Mungkin para sahabat-sahabat sekalian yang masih mempunya ibu dan ayah mungkin tidak merasa lagi kepahitan kehilangannya sesuatu yang sangat-sangat bernilai dalam kehidupan kita. Suatu kehilangan yang tidak boleh diganti dengan emas, permata dan juga wang ringgit.

Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

Riwayat al-Hakim

Apa yang boleh dihuraikan berdasarkan hadis tersebut, tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia. Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak.  Antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.  Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar. Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah. Dapat disimpulkan di sini, segala apa yang kita hendak lakukan dalam dunia ini ini, haruslah mendapatkan keredhaan dari ibu dan ayah kita. Jangan bila tiba satu saat pemergian mereka, kita akan merasa sangat menyesal.

Mungkin ramai yang tidak lagi merasai keperitan apabila kehilangan ibu bapa kita. Sekadar berkongsi pengalaman. Arwah abah telah meninggal dunia tanggal 26 Oktober 2001 disebabkan diabetis dan pelbagai lagi jenis penyakit di dalam tubuhnya. Ibu merupakan satu-satunya insan yang tidak menangis ketika waktu arwah melafazkan kalimah Syahadah di kamar hospital pada ketika itu. Sedangka semua ahli keluarga yang lain menangis hiba termasuklah diri ini yang tersangat-sangat sedih ketika itu. Ketika jenazah arwah samapi di rumah pada keesokkan harinya, ramai saudara-mara dan rakan taulan arwah yang datang menziarah. Ibu masih lagi tidak menunjukkan sebarang riak sedih. Masih lagi mampu tersenyum menyambut tetamu yang datang ke rumah. Selesai mandi jenazah dan kafan, jenazah arwah abah diangkat ke tanah perkuburan oleh orang-orang kampung diiringi dengan bacaan Al-Fatihah. Sempat seketika untuk melihat wajah ibu, masih lagi tenang seperti tidak berlaku apa-apa.

Setelah jenazah arwah abah selamat dikebumikan, diri ini terus pulang ke rumah dan masuk ke dalam bilik. Mata tidak henti-henti mengalir kerana mengenangkan saat-saat bersama arwah walaupun ketika itu masih berusia  11 tahun. Ketika terasa seperti tapak tangan mengusap-usap belakang tubuh, rupa-rupanya ibu yang sedang senyum memandangku. Ibu berkata, walaupun punca rezeki kita selama ini dah tiada, tetapi mak yakin, Allah akan membantu kita sekeluarga sambil matanya berair. Ketika itulah dua orang adikku masuk ke dalam bilik dan kami menangis sambil berpelukkan. Itulah saat yang paling tidak dapat dilupakan dalam hidup. Mulai hari itu, ibulah juga menjadi bapa kepada kami adik beradik. Dialah wanita yang terhebat dalam dunia bagi kami bertiga.

Bohonglah jika dikatakan tidak merasa sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang lain bermesra dengan ayah masing-masing. Sayu sahaja apabila mengenangkan detik bersama arwah abah suatu ketika dulu. Tapi diri ini harus kuat dan tabah. Setiap ujian dari Allah, pasti ada hikmahnya. Menjadi seorang anak yatim di usia yang muda banyak mengajar erti hidup sebenar apabila umur mula meningkat ke alam dewasa. Terkilan juga rasa dalam diri ini apabila mengenangkan arwah abah yang tidak dapat melihat pencapaian anak-anaknya pada hari ini dan yang akan mendatang kelak. Hati terus berdoa agar sempat untuk berbakti kepada bonda tercinta. Pengalaman ini sempat dikongsikan bersama beberapa orang anak yatim yang juga mengalami nasib yang sama malahan ada yang lebih menguji kesabaran berbanding diri ini melalui kem bersama anak yatim suatu masa dahulu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa segelintir jiwa anak yatim lebh tabah berbanding orang dewasa.

Satu pesanan untuk sahabat-sahabat yang membaca nukilan tak seberapa ini, hargailah peluang bersama ibu dan ayah kita. Sesungguhnya, tidak terbalas pengorbanan yang telah mereka lakukan kepada kita. Bukan wang ringgit yang mereka dambakan, cukuplah sekadar kita dapat membahagiakan mereka dengan kejayaan kita dan doa-doa yang mengiringi mereka seta tidak melupakan mereka apabila kita sudah berjaya kelak. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk membahagiakan ibu saya walaupun abah telah meninggalkan dunia ini.

Ya Allah! Rahmatilah kedua ibubapa kami , dan ampunilah dosa mereka. Redhailah mereka dengan keredhaan yg melayakkan mereka mendapat segala keredhaanMu. Dengan Engkau meletakkan mereka di dalam Negara kemuliaanMu, keamananMu, kemaafanMu dan keampunanMu.

Sunday 27 November 2011

BERMULANYA SATU PERJALANAN YANG JAUH

Selesai Solat Subuh di suatu pagi, hati mula terdetik untuk memulakan satu langkah menuju sebuah tempat yang boleh dijadikan sebagai titik permulaan untuk proses tarbiyah diri yang penuh kekotoran ini. Perjalanan yang pada awalnya diratapi oleh penghinaan untuk diri sendiri atas segala perbuatan berdosa dan jahil yang telah dilakukan selama ini bukanlah satu perjalanan yang mudah dengan hanya berjalan atau menaiki bas ataupun LRT, KTM dan sebagainya. Ia boleh diumpamakan sebagai hidup ini ingin bermula dari bayi semula. Fikiran yang kosong serta tangisan hiba mengiringi langkah tersebut sehingga tiba di tempat yang dituju.

Beraneka ragam manusia dapat dilihat di tempat itu. Ada yang gembira, ada juga yang sedih dan tidak kurang juga terdapat seorang ibu yang sedang memarahi anaknya yang nakal sambil ditenangkan oleh sang ayah. Satu permandangan yang indah di sebuah tempat yang mulia. Langkah diteruskan sehingga terjumpa dengan seorang hamba Allah yang sangat zuhud. Ketika itu dia sedang berbicara dengan beberapa orang anak muda. Salam diberi disambut dengan senyuman yang sangat manis dan diajak sekali duduk bersama dan sesi taaruf bermula. Sedikit demi sedikit perkongsian diutarakan demi kepentingan generasi muda yang mendatang.
Taktala mendengarnya, satu perasaan mula muncul. Mampukah diri berubah ke arah yang lebih baik dari sebelum ini? Mampukah tergolong dalam golongan yang pada hari ini lebih baik dari semalam? Mampukah diri menjadi seorang pemimpin yang baik kelak taktala diri ini dengan kepalitran dosa-dosa yang telah dibuat? MasyaAllah, betapa hinanya diri ini kepadaMu Ya Allah. Lelaki itu menyapa, beliau seakan-akan dapat membaca permasalahan yang dipantulkan pada wajah yang hiba. Setelah mendengar, beliau mengutarakan pendapatnya. Allah akan menguji setiap hambaNya sama ada ujian itu dalam bentuk kesenangan dan kesusahan. Jadi, kembalilah kita kepada Allah. Jadilah hambaNya yang terbaik. Berubahlah dari sekecil-kecil perkara hinggakan sebesar-besarnya perkara tersebut.

Usai sahaja pertemuan tersebut, pada petang itu juga, satu pertemuaan diatur dengan seorang insan yang sangat baik dan dapat dijadikan contoh. Luahan didengarnya dengan penuh teliti demi membantu seorang manusia yang pada suatu masa, hidupnya akan berakhir. Nasihat, pandangan dan kata-kata sokongan diberikan dengan penuh semangat. Dia bukan sekadar naqib, malahan sang murobbi yang inginkan sahabat-sahabat di sekelilingnya dapat bersama-sama menjadi umat Islam yang hebat dalam menempuh arus hidup duniawi yang penuh cabaran ini. Semuanya adalah sebagai persediaan dalam menuju Akhirat yang kekal abadi kelak, InsyaAllah.

Hati mulai tenang dan semangat baru mula terbentuk. Perjalanan hidup yang baru akan dimulakan. Sempena ketibaan Awal Muharam Maal Hijrah 1433, azam baru mula tercipta. Diiringgi doa tulus sahabat-sahabat dunia dan akhirat, satu fasa pengembaraan tarbiyah akan dimulakan. Perjalanan demi mencari keredhaan Allah. Semoga beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat, InsyaAllah.

Ya ALLAH, hambaMu ini bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk memperbaiki diri. Syukur Alhamdulillah di atas nikmatMu ini. Amin.